Thursday, 21 February 2013

Jual Beli Yang Diharamkan

Jual Beli Yang Haram

Adanya unsur-unsur batil dalam jualbeli itu iaitu:
- riba
- syubhah
- penipuan
- kemungkaran
- judi
- maksiat
- najis
- dan sebagainya


  • Bertentangan dengan hukum syarak seperti ditetapkan dalam al-Quran dan Hadith.
  • Kesannya pelakunya akan menerima balasan dari Allah atas dosa-dosanya itu.

Jual Beli Tidak Sah

Tidak menepati rukun-rukun dan syarat-syarat jualbeli.

Seperti penjual atau pembeli tidak sempurna akal, dipaksa, harga atau kuantiti barang tidak jelas dan sebagainya.

  •  Kesannya: tidak sah pertukaran milik antara penjual dan pembeli. Oleh itu pemilikan harta juga dihukumkan tidak sah.

Jenis jual beli yang diharamkan itu banyak dan para ulama mengkategorikannya kepada dua iaitu:
  1. Jual beli yang haram tetapi sah.
  2. Jual beli yang haram dan tidak sah.

1. Jenis jual beli yang haram tetapi sah

Di antara bentuk jual beli ini ialah:
  1. Membeli atas belian orang lain dengan cara mengatasi harganya.
  • Seorang pembeli telah bersetuju untuk membeli sesuatu barangan daripada pihak penjual lalu datang pembeli kedua hendak membeli barangan itu daripada penjual yanga sama dengan menawarkan harga yang lebih tinggi daripada pembeli pertama tadi.
  • Perbuatan ini adalah ditegah kerana boleh menimbulkan kemarahan dan menyakiti hati pembeli pertama.
Hadith Rasulullah SAW:
Ertinya: "Tidak harus menawar seorang Muslim atas tawaran seorang Muslim."

    2.  Mengatasi jualan orang lain semasa dalam khiyar.
  • Seorang penjual telah bersetuju untuk menjualkan barangannya kepada pembeli dan pembeli meminta tempoh khiyar selama tiga hari. Dalam tempoh masa khiyar ini datang pula penjual kedua menawarkan kepada pembeli itu tadi barangan yang serupa dengan harga yang lebih murah dan meminta pembeli itu membatalkan kontrak belian yang pertama tadi.
  • Perbuatan seperti ini ditegah kerana mendatangkan perasaan marah dan menyakiti hati penjual pertama.
Larangan ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW daripada Ibnu Umar:
Ertinya: "Janganlah seseorang daripada kamu menjual sesuatu atas jualan orang lain."

   3.  Menyekat di tengah perjalanan pedagang atau penjual yang datang dari kampung sebelum mereka memasuki kota atau bandar sedang orang-orang kampung itu tadi tidak mengetahui harga pasaran semasanya di kota.

Hal ini dilakukan supaya:
  • Penyekat itu dapat membeli barangan daripada pedagang atau penjual dari kampung tersebut dengan harga yang semurah-murahnya dan menjualkannya di kota dengan harga yang setinggi-tingginya.
Hal sedemikian ditegah oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah Hadith baginda yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas:
Ertinya: "Daripada Ibnu Abbas RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW: Janganlah kamu temui orang yang berkenderaan itu (orang yang membawa barang-barang penting ke bandar) dan tidak menjual orang hadir (bandar) barang-barang yang dibeli daripada orang desa"

Jual beli ini dinamakan sebagai Talaqi ar-Rukhban

   4.  Bal' al-Haadiri lilbaadi
  • Peniaga di bandar mengambil alih barangan jualan orang-orang pedalaman yang hendak menjual barangan mereka dengan harga mereka sendiri.
  • Tujuan peniaga bandar itu adalah untuk dijual secara runcit dengan harga yang lebih mahal.
  • Rasulullah SAW melarang urusniaga seperti ini untuk menghapuskan ejen atau orang tengah di antara petani atau pengeluar dengan pembeli yang menyebabkan berlakunya pemerasan ke atas pengguna.
Pengharaman ini berdasarkan Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar:
Ertinya: "Sesungguhnya Nabi bersabda: Janganlah orang bandar membeli daripada orang kampung dengan mendakwa bahawa Allah SWT akan meluaskan rezeki seseorang terhadap yang lain."

    5.  Jualan Tanajasyu atau an-Najasyi
  • Maksudnya membeli barangan dengan harga yang mahal daripada biasa sedangkan barangan itu tidak perlu baginya, cuma suatu pakatan di antara penjual dan pembeli untuk mengelirukan orang ramai.
  • Tujuannya hanyalah untuk menyekat orang lain daripada memiliki barang tersebut. Dan apabila orang ramai menghendakinya maka mereka akan mendapatkannya dengan harga yang mahal.
Larangan ini termaktub dalam sebuah Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar:
Ertinya: "Rasulullah SAW telah menegah daripada mengadakan najasyi"

   6.  Membeli barangan keperluan orang ramai dengan banyak dengan tujuan untuk disorok dan disimpan sedangkan pada waktu itu masyarakat amat memerlukan barangan tersebut.
  • Tujuan barangan itu disorok dan disimpan apabila masyarakat mahu mendapatkannya akan dapat dijual dengan harga yang mahal dan mencari keuntungan yang lebih besar.
Cara begini adalah berdosa seperti di dalam Hadith riwayat Ma'mar:
Ertinya: "Rasulullah SAW bersabda: barangsiapa yang menyimpan barang dengan sengaja supaya mahal harganya maka dia berdosa"

    7.  Menjual barangan yang akan digunakan oleh pembeli untuk tujuan maksiat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Tafsirannya: "...dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan..."

    8.  Menjual dengan cara menipu seperti menjual buah-buahan dengan menyembunyikan buah yang buruk di dalam longgokkan buah yang baik atau segar.

Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sabda Rasulullah SAW :
Ertinya; "Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah lalu di pasar yang dilonggokkan makanan dan akan dijual. Kemudian baginda memasukkan tangannya ke dalam guni gandum tersebut dan didapatinya yang di bawah adalah basah lalu baginda bertanya: Apa ini wahai tuan punya barang, lelaki itu berkata: Ia terkena hujan wahai Rasulullah, baginda bersabda lagi: Harap engkau tidak letakkan ia di bawah supaya boleh dilihat orang, baginda menambah sabdanya lagi: Sesiapa yang menipu kami maka dia bukan daripada kami".

    9.  Menjual benda-benda najis
  • Seperti anjing, babi, arak dan sebagainya.
Larangan ini berdasarkan kepada Hadith yang diriwayatkan datipada Jabir Ibnu Abdullah RA:
Ertinya: Daripada Jabir bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah: "Bahawa Allah dan Rasul-Nya mengharamkan jualan arak, bangkai, babi dan berhala"

   10.  Jual beli yang dilakukan ketika sembahyang Jumaat.
  • Bermula setelah azan kedua sembahyang Jumaat hingga selesai sembahyang Jumaat didirikan.
  • Pengharaman ini berlaku ke atas mereka yang memenuhi syarat-syarat wajib sembahyang Jumaat ke atasnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu'ah ayat 9":
Tafsirannya: "Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang Jumaat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dan tinggalkan berjualbeli".

Wednesday, 13 February 2013

Jual Beli

Definisi

Sudut bahasa bermaksud menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain.

Sementara itu perngertian jualbeli dari segi Syarak mempunyai berbagai-bagai pengertian.
  • Suatu akad yang bertujuan untuk memiliki secara kekal sesuatu yang berupa harta atau manfaat dengan cara tukar menukar harta menurut syarat-syaratnya.
  • Pertukaran dalam bentuk harta dengan harta dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan.

Hukum Jual Beli

Islam telah mengharuskan jual beli selagi ia tidak bercampur atau tidak mempunyai unsur-unsur penipuan atau lain-lain perkara negatif yang ditegah oleh agama Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:
وأحل الله البيع وحرم الرباء
Tafsirannya: " padahal Allah SWT telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba..."

Namun hukum asal jual beli yang HARUS ini boleh jadi berubah mengikut keadaan-keadaan yang tertentu.

1. WAJIB
Menjadi wajib menjual sesuatu barangan ketika orang sangat memerlukannya, dalam keadaan terdesak, kelaparan atau kebuluran seperti barangan keperluan asasi.

2. SUNAT
Berlaku jual beli di antara penjual dengan pembeli terhadap sesuatu barangan yang diperlukan seperti menjual barang keperluan harian pembeli.

3. MAKRUH
Jual beli yang dilakukan setelah berkumandang azan pertama sembahyang Jumaat bagi orang yang wajib sembahyang Jumaat ke atasnya.

4. HARAM
i. Jual beli yang dilakukan setelah berkumandang azan yang kedua sembahyang Jumaat bagi orang wajib sembahyang Jumaat ke atasnya.

ii. Jual beli benda-benda yang najis dan haram pada hukum syarak seperti arak, bangkai, najis binatang dan sebagainya.


Hikmah diharuskan jual beli

1. Allah SWT telah menjadikan fitrah manusia untuk saling memerlukan antara satu sama lain. Maka dengan aktiviti jual beli ini dapatlah mereka saling bertukar-tukar barangan keperluan melalui jalan yang dihalalkan oleh syarak.

2. Dapat menghindarkan diri daripada perbuatan keji seperti merampas hak orang lain.

3. Untuk memudahkan manusia memiliki barangan keperluan mereka dengan jalan yang halal.

4. Manusia dapat hidup tolong-menolong dan bersatu padu sesama mereka.

5. Supaya manusia tidak bertindak di luar batasan dan tidak berlakunya kezaliman dan penganiayaan di antara satu dengan yang lain.

6. Allah SWT mengatur sistem kehidupan manusia dengan cara yang baik dan mereka dapat mencari keredaan Allah SWT.

7. Bagi menggalakkan umat Islam mencari sumber rezeki yang halal dan seterusnya meningkatkan pendapatan melalui perniagaan yang ternyata adalah menjadi punca keuntungan.

Rasulullah SAW bersabda:
Ertinya: "Hendaklah kamu berniaga oleh kerana sembilan persepuluh daripada rezeki itu berada dalam berniaga."

8. Jual beli dapat melahirkan umat Islam yang sentiasa bertanggungjawab serta berlumba-lumba dalam membelanjakan harta kekayaan ke jalan yang diredai Allah SWT seperti sedekah, zakat, hibbah, wakaf, wasiat dan sebagainya.

9. Untuk mendapatkan keberkatan, kurnia dan keredaan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW riwayat Al-Bazzar dan Al-Hakim:
Ertinya: "Dari Rifa'ah bin Rafi' sesungguhnya Nabi SAW telah ditanya: Apakah pencarian (kerja) yang tebaik? Sabda baginda: Usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang sah."

Rukun-rukun jual beli

Rukun-rukun jual beli itu adalah seperti berikut:
  1. Penjual
  2. Pembeli
  3. Barang
  4. Harga
  5. Lafaz atau Sighah (ijab dan qabul)
Syarat-syarat Penjual dan Pembeli

1. Cukup umur atau baligh.
- menurut pendapat Imam Syafi'e tidak sah jual beli dengan kanak-kanak.

- menurut pendapat imam Hanbali dan Hanafi adalah sah jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumayyiz jika sekiranya barangan yang dijual itu kecil nilaiannya seperti sekilo gula, sabun atau seumpamanya.

2. Waras
Tidak sah jual beli yang dilakukan oleh orang gila semasa gilanya.

Hadith riwayat Abu Daud:
Ertinya: "Diangkat qalam (tidak dikira salah atau tidak dipertanggungjawabkan) terhadap tiga jenis manusia: terhadap orang gila yang hilang kewarasannya hingga pulih, terhadap orang yang tidur hingga ia terjaga dan terhadap kanak-kanak hingga ia bermimpi (baligh)."

3. Dengan kemahuannya sendiri
- Penjual atau pembeli bebas daripada sebarang ikatan yang memaksanya menjual atau membeli.
- Bebas nertindak atau memilih sama ada menjual atau membeli atau pun sebaliknya.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 29:
Tafsirannya: "...kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..."

- Maksudnya jual beli yang dilakukan itu adalah dengan kerelaan hati kedua-dua belah pihak (penjual dan pembeli).

- Iaitu pihak penjual dan pembeli atau tidak ada dipaksa untuk menjual atau membeli. Penjual tidak boleh dipaksa menjual barangan jualannya dan pihak pembeli tidak boleh dipaksa membeli barangan yang dijual. Maka tidak sah jual beli yang dijalankan secara paksaan.

4. Beragama Islam jika yang dijual itu al-Quran atau Hadith.

5. Tidak boleh menjual senjata kepada musuh Islam.

6. Merdeka.

7. Bukan orang yang ditahan haknya ke atas hartanya kerana muflis dan sebagainya.

Syarat Barangan & Harga

Antara syarat-syarat barangan jualan itu ialah:

1. Bersih dari segi syarak.
- Tidak sah menjual najis, bangkai atau seumpamanya.

Hadith riwayat Imam Al-Bukhari:
Ertinya: "Sesungguhnya Rasullulah SAW melarang daripada mengambil harga daripada jualan anjing."

2. Tidak bercampur dengan sesuatu yang najis yang tidak dapat disucikan.
- Tidak sah menjual sesuatu yang terkena atau bercampur dengan najis jika sekiranya najis itu tidak dapat dibersihkan atau diasingkan dengan dibasuh atau dicuci atau sebagainya. Seperti menjual minyak wangi yang bercampur dengan benda najis.

- menjual minyak masak yang bercampur dengan najis adalah sah pada pendapat imam Hanafi kerana najis itu boleh disuci atau dibersihkan dengan air.

3. Berfaedah dan mendatangkan manfaat.
- Tidak sah menjual barangan yang tidak ada manfaatnya seperti menjual tiga biji beras atau seumpamanya.

4. Hak milik pennjual atau wakilnya.

5. Dapat diserahkan ketika akad.

6. Diketahui jenis, kadar dan sifat barangan jualan itu oleh penjual dan pembeli.

Syarat Lafaz atau Sighah (Ijab dan Qabul)

Ijab ialah penawaran oleh penjual dan qabul adalah penerimaan tawaran itu oleh pembeli.
Sighah ijab dan qabul jual beli ini boleh dilakukan dalam salah satu daripada dua keadaan:

1. Sighah lafziah
Dalam bentuk kata-kata: seperti sighah lafziah penjual "Saya jual buku ini kepada awak dengan harga $15." dan pembeli menerima tawaran itu dengan sighah lafziahnya "Saya setuju membeli bukui itu dengan harga $15",
atau dengan ganti kata-kata: seperti surat-surat transaksi jual beli, bill-bill atau seumpamanya.

2. Sighah haliah
Iaitu dalam bentuk perbuatan: seperti penjual meneyerhkan barangan jualannya dan pembeli menyerahkan harga barangan tersebut tanpa menggunakan kata-kata.
Jual beli secara ini dinamakan jual beli Mu'atah.

Syarat Ijab & Qabul

1. Tidak diselangi dengan perkataan yang lain yang tidak ada kaitannya dengan akad jual beli.

2. Tidak boleh diam atau terputus antara lafaz ijab dan qabul dengan jarak yang lama.

- Maksudnya sebaik sahaja penjual melafazkan ijab maka hendaklah segera diikuti oleh lafaz qabul daripada pembeli.
- Mengikut pendapat mazhab Hanafi sah jual beli dengan hanya dilakukan penyerahan oleh penjual dan penerimaan oleh pembeli tanpa lafaz ijab dan qabul.

3. Bersamaan lafaz ijab dan qabul itu ada maknanya.

- Hendaklah makna ijab dan qabul itu sama iaitu jual beli walau berlainan pada lafaznya.
Seperti kata penjual:  "Aku jual pen ini kepada mu dengan harga $2.50". Lalu kata pembeli: "Aku beli pen ini dengan harga 250 sen".
Ijab dan qabul seperti ini adalah sah.

- Tetapi jika berlainan pada makna adalah tidak sah.
Seperti penjual bermaksud utnuk menjual barangannya tetapi pembeli bermaksud untuk menyewa sahaja barangan penjual.

4. Tidak boleh dihadkan masa dan waktunya.
Seperti kata penjual "Aku jual kereta ini kepadamu selama lima tahun".
Jualan seperti ini tidak sah kerana disyaratkan untuk jangka masa yang tertentu sahaja.

5. Tidak bertaklik.
Seperti kata penjual: "Saya jual tanah ini setelah ayah saya meninggal dunia."

Muamalat

Muamalat ialah perhubungan di antara manusia dengan manusia yang lain untuk mendapatkan keperluan masing-masing dengan cara yang baik sesuai dengan ajaran agama Islam. Kerana manusia itu tidak boleh hidup bersendirian tanpa pertolongan orang lain.

Dalam perkara berkaitan dengan muamalat ini Syari'at Islam telah menjelaskan secara terperinci mengenainya seperti jualbeli, sewa-menyewa, gadaian, upahan, syarikat, riba dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasa ayat 77:
Tafsirannya: " Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia..."

Konsep muamalat ini memberikan faedah yang amat besar kepada manusia yang di antaranya ialah:

1. Supaya manusia hidup berkerjasama, tolong-menolong, bertukar-tukar keperluan serta berhubungan dan berkekalan.

2. Muamalat dapat membawa kepada perpaduan umat dan keamanan masyarakat dan negara.

3. Melalui muamalat secara Islam, dapat menghindarkan daripada berlakunya penindasan, penipuan dan kezaliman.

4. Dapat mewujudkan masyarakat yang sentiasa berdikari, saling berlumbaan, tekun dan sabar dalam mencari rezeki yang halal.

5. Melahirkan umat yang sentiasa bertanggungjawab dan sentiasa berlumbaan dalam membelanjakan harta kekayaan ke jalan Allah SWT seperti Sedekah, Zakat, Hibbah, Wasiat dan sebagainya.