Wednesday, 13 February 2013

Jual Beli

Definisi

Sudut bahasa bermaksud menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain.

Sementara itu perngertian jualbeli dari segi Syarak mempunyai berbagai-bagai pengertian.
  • Suatu akad yang bertujuan untuk memiliki secara kekal sesuatu yang berupa harta atau manfaat dengan cara tukar menukar harta menurut syarat-syaratnya.
  • Pertukaran dalam bentuk harta dengan harta dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan.

Hukum Jual Beli

Islam telah mengharuskan jual beli selagi ia tidak bercampur atau tidak mempunyai unsur-unsur penipuan atau lain-lain perkara negatif yang ditegah oleh agama Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:
وأحل الله البيع وحرم الرباء
Tafsirannya: " padahal Allah SWT telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba..."

Namun hukum asal jual beli yang HARUS ini boleh jadi berubah mengikut keadaan-keadaan yang tertentu.

1. WAJIB
Menjadi wajib menjual sesuatu barangan ketika orang sangat memerlukannya, dalam keadaan terdesak, kelaparan atau kebuluran seperti barangan keperluan asasi.

2. SUNAT
Berlaku jual beli di antara penjual dengan pembeli terhadap sesuatu barangan yang diperlukan seperti menjual barang keperluan harian pembeli.

3. MAKRUH
Jual beli yang dilakukan setelah berkumandang azan pertama sembahyang Jumaat bagi orang yang wajib sembahyang Jumaat ke atasnya.

4. HARAM
i. Jual beli yang dilakukan setelah berkumandang azan yang kedua sembahyang Jumaat bagi orang wajib sembahyang Jumaat ke atasnya.

ii. Jual beli benda-benda yang najis dan haram pada hukum syarak seperti arak, bangkai, najis binatang dan sebagainya.


Hikmah diharuskan jual beli

1. Allah SWT telah menjadikan fitrah manusia untuk saling memerlukan antara satu sama lain. Maka dengan aktiviti jual beli ini dapatlah mereka saling bertukar-tukar barangan keperluan melalui jalan yang dihalalkan oleh syarak.

2. Dapat menghindarkan diri daripada perbuatan keji seperti merampas hak orang lain.

3. Untuk memudahkan manusia memiliki barangan keperluan mereka dengan jalan yang halal.

4. Manusia dapat hidup tolong-menolong dan bersatu padu sesama mereka.

5. Supaya manusia tidak bertindak di luar batasan dan tidak berlakunya kezaliman dan penganiayaan di antara satu dengan yang lain.

6. Allah SWT mengatur sistem kehidupan manusia dengan cara yang baik dan mereka dapat mencari keredaan Allah SWT.

7. Bagi menggalakkan umat Islam mencari sumber rezeki yang halal dan seterusnya meningkatkan pendapatan melalui perniagaan yang ternyata adalah menjadi punca keuntungan.

Rasulullah SAW bersabda:
Ertinya: "Hendaklah kamu berniaga oleh kerana sembilan persepuluh daripada rezeki itu berada dalam berniaga."

8. Jual beli dapat melahirkan umat Islam yang sentiasa bertanggungjawab serta berlumba-lumba dalam membelanjakan harta kekayaan ke jalan yang diredai Allah SWT seperti sedekah, zakat, hibbah, wakaf, wasiat dan sebagainya.

9. Untuk mendapatkan keberkatan, kurnia dan keredaan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW riwayat Al-Bazzar dan Al-Hakim:
Ertinya: "Dari Rifa'ah bin Rafi' sesungguhnya Nabi SAW telah ditanya: Apakah pencarian (kerja) yang tebaik? Sabda baginda: Usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang sah."

Rukun-rukun jual beli

Rukun-rukun jual beli itu adalah seperti berikut:
  1. Penjual
  2. Pembeli
  3. Barang
  4. Harga
  5. Lafaz atau Sighah (ijab dan qabul)
Syarat-syarat Penjual dan Pembeli

1. Cukup umur atau baligh.
- menurut pendapat Imam Syafi'e tidak sah jual beli dengan kanak-kanak.

- menurut pendapat imam Hanbali dan Hanafi adalah sah jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumayyiz jika sekiranya barangan yang dijual itu kecil nilaiannya seperti sekilo gula, sabun atau seumpamanya.

2. Waras
Tidak sah jual beli yang dilakukan oleh orang gila semasa gilanya.

Hadith riwayat Abu Daud:
Ertinya: "Diangkat qalam (tidak dikira salah atau tidak dipertanggungjawabkan) terhadap tiga jenis manusia: terhadap orang gila yang hilang kewarasannya hingga pulih, terhadap orang yang tidur hingga ia terjaga dan terhadap kanak-kanak hingga ia bermimpi (baligh)."

3. Dengan kemahuannya sendiri
- Penjual atau pembeli bebas daripada sebarang ikatan yang memaksanya menjual atau membeli.
- Bebas nertindak atau memilih sama ada menjual atau membeli atau pun sebaliknya.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 29:
Tafsirannya: "...kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..."

- Maksudnya jual beli yang dilakukan itu adalah dengan kerelaan hati kedua-dua belah pihak (penjual dan pembeli).

- Iaitu pihak penjual dan pembeli atau tidak ada dipaksa untuk menjual atau membeli. Penjual tidak boleh dipaksa menjual barangan jualannya dan pihak pembeli tidak boleh dipaksa membeli barangan yang dijual. Maka tidak sah jual beli yang dijalankan secara paksaan.

4. Beragama Islam jika yang dijual itu al-Quran atau Hadith.

5. Tidak boleh menjual senjata kepada musuh Islam.

6. Merdeka.

7. Bukan orang yang ditahan haknya ke atas hartanya kerana muflis dan sebagainya.

Syarat Barangan & Harga

Antara syarat-syarat barangan jualan itu ialah:

1. Bersih dari segi syarak.
- Tidak sah menjual najis, bangkai atau seumpamanya.

Hadith riwayat Imam Al-Bukhari:
Ertinya: "Sesungguhnya Rasullulah SAW melarang daripada mengambil harga daripada jualan anjing."

2. Tidak bercampur dengan sesuatu yang najis yang tidak dapat disucikan.
- Tidak sah menjual sesuatu yang terkena atau bercampur dengan najis jika sekiranya najis itu tidak dapat dibersihkan atau diasingkan dengan dibasuh atau dicuci atau sebagainya. Seperti menjual minyak wangi yang bercampur dengan benda najis.

- menjual minyak masak yang bercampur dengan najis adalah sah pada pendapat imam Hanafi kerana najis itu boleh disuci atau dibersihkan dengan air.

3. Berfaedah dan mendatangkan manfaat.
- Tidak sah menjual barangan yang tidak ada manfaatnya seperti menjual tiga biji beras atau seumpamanya.

4. Hak milik pennjual atau wakilnya.

5. Dapat diserahkan ketika akad.

6. Diketahui jenis, kadar dan sifat barangan jualan itu oleh penjual dan pembeli.

Syarat Lafaz atau Sighah (Ijab dan Qabul)

Ijab ialah penawaran oleh penjual dan qabul adalah penerimaan tawaran itu oleh pembeli.
Sighah ijab dan qabul jual beli ini boleh dilakukan dalam salah satu daripada dua keadaan:

1. Sighah lafziah
Dalam bentuk kata-kata: seperti sighah lafziah penjual "Saya jual buku ini kepada awak dengan harga $15." dan pembeli menerima tawaran itu dengan sighah lafziahnya "Saya setuju membeli bukui itu dengan harga $15",
atau dengan ganti kata-kata: seperti surat-surat transaksi jual beli, bill-bill atau seumpamanya.

2. Sighah haliah
Iaitu dalam bentuk perbuatan: seperti penjual meneyerhkan barangan jualannya dan pembeli menyerahkan harga barangan tersebut tanpa menggunakan kata-kata.
Jual beli secara ini dinamakan jual beli Mu'atah.

Syarat Ijab & Qabul

1. Tidak diselangi dengan perkataan yang lain yang tidak ada kaitannya dengan akad jual beli.

2. Tidak boleh diam atau terputus antara lafaz ijab dan qabul dengan jarak yang lama.

- Maksudnya sebaik sahaja penjual melafazkan ijab maka hendaklah segera diikuti oleh lafaz qabul daripada pembeli.
- Mengikut pendapat mazhab Hanafi sah jual beli dengan hanya dilakukan penyerahan oleh penjual dan penerimaan oleh pembeli tanpa lafaz ijab dan qabul.

3. Bersamaan lafaz ijab dan qabul itu ada maknanya.

- Hendaklah makna ijab dan qabul itu sama iaitu jual beli walau berlainan pada lafaznya.
Seperti kata penjual:  "Aku jual pen ini kepada mu dengan harga $2.50". Lalu kata pembeli: "Aku beli pen ini dengan harga 250 sen".
Ijab dan qabul seperti ini adalah sah.

- Tetapi jika berlainan pada makna adalah tidak sah.
Seperti penjual bermaksud utnuk menjual barangannya tetapi pembeli bermaksud untuk menyewa sahaja barangan penjual.

4. Tidak boleh dihadkan masa dan waktunya.
Seperti kata penjual "Aku jual kereta ini kepadamu selama lima tahun".
Jualan seperti ini tidak sah kerana disyaratkan untuk jangka masa yang tertentu sahaja.

5. Tidak bertaklik.
Seperti kata penjual: "Saya jual tanah ini setelah ayah saya meninggal dunia."

11 comments:

  1. dh kenapa x bergune? dia sampaikan ilmu.. kamu yg kurang ilmu ni sepatutnye bersyukur bukan berlagak mcm kamu ni hebat sangat..

    ReplyDelete
  2. Seorang abang hendak beri rumah kepada adiknya. Dalam perjalanan ke mahkamah untuk tukar nama, abang menyatakan selagi dia masih hidup, hasil sewa rumah adalah miliknya. Adakah sah akad ini? Nak beri harta tetapi masih inginkan hasil dari harta tersebut?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pada pendapat saya si abang ingin kutip hasil sewa adalah tidak sah kerana kontrak antara penyewa dan si abang akan tamat apabila hak milik rumah itu bertukar tuan. Dan kontrak baharu perlu dilakukan anatara si adik dan penyewa. Jika si adik bersetuju untuk memberi hasil sewa itu kepada abangnya dalam kontrak baharu, maka sah. Wallahualam. ini hanyalah pendapat saya

      Delete